Di sebalik Nuzul Quran & Lailatulqadar




Assalamualaikum




PARA ulama sependapat bahawa peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, malam Jumaat, tahun ke-41 daripada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ memberi makna turun atau berpindah dari atas ke bawah iaitu al-Quran itu diturunkan dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) dengan sekali gus dan bukan beransur-ansur.

Al-Quran bermakna ‘bacaan’ yang di dalamnya terkandung ayat-ayat (tanda-tanda) yang menjelaskan segala perkara meliputi persoalan tauhid, ibadat, jinayah, muamalat, sains, teknologi, tatanegara dan sebagainya. Ahli tafsir memberi pengertian dengan bacaan itu ialah merenung dan memperhatikan segala penciptaan ALLAH SWT di langit dan di bumi yang meliputi alam semesta ciptaan-Nya.

Al-Quran merupakan mukjizat teragung dan terbesar di sepanjang zaman yang dianugerahkan ALLAH kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman. Al-Quran dapat dipegang, dibaca, dilihat oleh semua manusia untuk panduan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan membaca isi kandungan al-Quran banyak orang mendapat petunjuk terutama dalam kalangan masyarakat Barat.

Manakala ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah surah al-’Alaq, ayat 1 hingga ayat 5 yang bermaksud : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang belum diketahuinya.”

Hubungan Nuzul al-Quran dan Lailatulqadar amatlah rapat antara satu sama lain sebagaimana diterangkan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Firman ALLAH dalam surah al-Qadar (rujuk ayat 1-5).

Dalam hadis, Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam - malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan. Para ulama menyatakan malam - malam ganjil itu ialah 21, 23, 25, 27 dan 29. Namun malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh ALLAH agar setiap umat Islam menghayati 10 malam terakhir bulan Ramadan.




sumber : http://www.sinarharian.com.my/karya/di-sebalik-nuzul-quran-lailatulqadar-1.74639

Comments

Popular posts from this blog

Sunset di Bukit Batu Putih, PD

Hiking Gunung Datuk!

Singapore Day Trip bersama Percutian Jimat Saya