OKU Mount KINABALU challenge 2016



Assalamualaikum



Bismillahirahmanirrahim, Segala puji bagi Allah s.w.t pada setiap kerdipan mata dan turun naik nafas. Selawat dan Salam kepada Baginda Rasulullah s.a.w, nabi junjungan, rahmat untuk sekelian alam.


2. Terlebih dahulu ingin saya menzahirkan ucapan kesyukuran kehadrat Allah, hanya dengan izinNya dan limpah kurnianya berjaya sudah misi pendakian Team Anak Gunung kali ini seramai 30 orang ke Gunung Kinabalu pada 29-31 Jan 2016. Ribuan terima kasih dan tahniah khusus kepada semua 30 peserta diatas kesungguhan menjayakan trip ini sehingga berjaya dengan cemerlang sekali tanpa sebarang masalah teknikal. Komitmen anda dan kerjasama yang terbaik sepanjang XPDC.


3. Ini pendakian kali ketujuh aku ke Kinabalu selepas mereccee trail baru iaitu ranau trail pada 19 dec lepas. Istimewa sekali Adam aka Azrulkhan Hasrullah yang menggemparkan dunia hiking tanahair bersama XPDC kami kali ini. Dilahirkan dengan keupayaan istimewa, beliau kini adalah ikon belia yang dijulang namanya dek kerana semangat kental dan motivasi tinggi aspirasi anak muda.


4. Perkenalan dengan anak muda ini mungkin kebetulan selepas nama dan wajahnya viral di muka buku HACAM. Broga menjadi medan tempur pertama antara semangat dan sisa-sisa tenaga. Selepas itu terus meletup memberanikan diri menghayun langkah tidak pernah gentar apatah lagi berundur walau setapak. Habis tabur siri ditapau-nya selain gasing dan saga. Antara artikel yang menjodohkan kami buat pertama kali bila dia diinterview dalam harian metro dan dengan berani dia beritau seluruh dunia dia ingin meneroka bumi Kinabalu dan Everest. Tersentap aku dengan semangat juang anak muda ini dan dengan pantas terus aku inbox muka buku dia. “bro nak naik Kinabalu tak”


5. “nak…” ok on kita set.. maka tarikh 2 November detik permulaan untuk Adam Projek. Antara latihan mendaki termasuklah bukit tabuh siri dan gunung bunga buah.


6. Tarikh 30 Jan 2016, tepat jam 6.00 pagi, adam bersama 2 pengiring pendaki tegar iaitu Cikgu Zul dan Dr.Ramli Ahmad memulakan pendakian dari timpohon gate. Pelepasan khas diberikan kepada Team Adam hasil rundingan Dr.Ramli bersama pengarah Kinabalu Park. Sehari sebelum, gambar yang diupload oleh Dr.Ramli di muka buku beliau mendapat perhatian dan sokongan semangat warga gunung. Komen-komen positif mewarnai status tersebut menyemarakkan lagi semangat untuk Adam dan team mendaki puncak Kinabalu dan pulang dengan selamat.


7. Sejam pertama, adam bergerak 500 meter dengan konsisten. Trek agak landai dan masih mudah. Memang sukar untuknya merangkak, mengesot hanya menggunakan tangan. Mungkin ada yang beranggapan buat apa menyusahkan diri mendaki Kinabalu jika tiada kaki. Ini mentality umum bagi mereka yang tidak faham jiwa dan kemahuan pendaki. Untuk Adam, hanya dia sorang saja yang tau apa sebabnya. Kami hanya membantunya mencapai impian dan cita-cita.

8. “Climb The Mountain Not to Plant Your Flag, But to Embrace The Challenge, Enjoy The Air and Behold The View. Climb it so You Can See The World, Not So The World Can See You.”– David McCullough –


9. Pendakian adam ke puncak Gunung Kinabalu, merupakan fenomena viral bagi diri saya dan seluruh rakyat malaysia, satu detik atau peristiwa yang mengubah mentaliti semua orang, anda boleh lakukan banyak perkara sekiranya anda berikan sepenuh perhatian dan berusaha bersungguh-sungguh.


10. Usaha dan percubaan adam memilih dan membuat keputusan mencabar diri adalah satu usaha yang berani dan wajar dicontohi rakyat Malaysia. Setiap hari media melaporkan berita negative yang membosankan. Berita perjalanan adam ini membuka mata dan memberi aspirasi kepada masyarakat supaya berani mencapai impian. Jika anda percaya dan yakin, anything is possible.


11. Kejayaan adam menyertai xpdc kali ini ke puncak Gunung Kinabalu, menyuntik semangat baru dalam diri saya, menjadikan saya bertambah yakin dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.


12. Kalau difikirkan Gunung Kinabalu bukanlah tinggi mana pun berbanding gunung-gunung di Banjaran Himalaya, kalau hendak dibandingkan dengan Gunung Everest, memang jauh bezanya. Puncak Gunung Kinabalu terletak pada pada ketinggian 4,095 meter, manakala Everest Base Camp, di mana para pendaki berkhemah untuk menyesuaikan diri selama berminggu-minggu atau mungkin sebulan dua terletak pada ketinggian 5300 meter, bayangkan, Base Camp sahaja sudah lebih tinggi daripada puncak Gunung Kinabalu, itu belum lagi puncak Gunung Everest iaitu pada ketinggian 8,848 meter, lebih dua kali ganda ketinggian Gunung Kinabalu.


13. Cuma apa yang saya hendak kongsikan di sini ialah, perjalanan adam. Pengalaman, rasa, alam bersatu antara semua deria. Melihat dengan mata hati keindahan sepanjang trek. Mendengar alunan dan bisikan alam, merasa sakit akibat seretan batu tapi itulah nikmat yang tidak dapat didustakan.


14. Pendakian ke puncak Gunung Kinabalu banyak mengajar adam untuk yakin dan percaya dengan diri sendiri, sekiranya kita pernah dengar cerita-cerita dari rakan-rakan yang pernah mendaki Gunung Kinabalu, sama ada berjaya atau tidak, selain mesti mempunyai stamina dan tubuh badan yang sihat, yang paling penting dan utama ialah kita mesti memiliki semangat yang kuat, ataupun mental yang kuat.


15. Kita boleh sahaja berbohong pada orang lain, pada rakan-rakan ataupun pada Mountain Guide, bahawa kita tercedera, kita terlalu penat, kita tak larat, dan macam-macam alasan lagi untuk tidak meneruskan pendakian, tetapi hanya Tuhan dan diri kita sahaja yang tahu keadaan sebenar fizikal kita. Ada masanya kita mudah sangat mengalah dengan diri sendiri, kita hilang keyakinan diri akibat kepenatan yang melampau.


16. Bukan semua orang yang mendaki Gunung Kinabalu berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu, dengan pelbagai faktor, sama ada faktor kesihatan, kecederaan, faktor cuaca, bencana alam dan macam-macam lagi tetapi faktor yang agak mengecewakan ialah bila kita kurang yakin dengan diri sendiri lantas kita mengalah sedangkan sekiranya kita berusaha lebih lagi, insyaAllah perlahan-lahan kita akan sampai juga. Kepada yang belum mencuba, cubalah biar sekali. Tiada kata dapat menggambarkan, naik dan rasalah sendiri. insyaAllah moga dipermudahkan.


17. Diringkas cerita, walaupun pendakian adam hanya terhenti di sayat-sayat, itu sudah cukup power bagi memberi aspirasi kepada rakyat Malaysia dan dunia. Next time boleh repeat. Low peak hanya satu titik destinasi. Yang penting ialah rasa. Rasa itu rahsia ibarat rahsia dalam rahsia tetap rahsia..


End.


OKU Mount KINABALU challenge 2016

Organizer: Persatuan Anak Gunung Malaysia aka Team Anak Gunung

Kredit to : Muhammad Ariff Baharom (Project Manager)
















Video ni sempat aku rakam sebelum pergi kerja & aku rakam guna handphone jer. Video ni jadi senget pula bila masuk youtube. 


Disclaimer : Sila pusingkan handphone, laptop @ kepala anda untuk menonton dengan lebih jelas! ;p







Comments

Post a Comment

In a nutshell, Thanks for your comment!

Popular posts from this blog

Paintball

Part 1 : Pendakian ke Kem Baha

Gunung Silipat, Betong Thailand

BAHASA HIKERS

Hidden Treasure Hunt

Jumaat Di Kota Mekah

Jalan2 Perlis

Bukit Merah Laketown Resort, Perak